LONDON, 4 Mei: Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) bukan hanya sekadar sebuah acara, tetapi menjadi simbol penting perpaduan dan harapan bagi anak-anak Sarawak di luar negara terutama di Eropah seperti United Kingdom, Jerman dan Perancis.
Edisi pertama LBAS yang diadakan di United Kingdom ini bukan sahaja menghubungkan rakyat Sarawak dari pelbagai negara, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk lebih dekat dengan perkembangan negeri serta memberi sumbangan kepada masa depan tanah air.
Selain perbincangan mengenai inisiatif semasa Kerajaan Sarawak, sesi seperti Kenyalang Speaks dan Townhall bersama Premier Sarawak turut memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi idea dan mendapatkan pendedahan lebih lanjut tentang arah tuju negeri Sarawak.
Pengarah LBAS Edisi UK 2025, Amiruddin Ahmat berkata program ini merupakan satu platform yang penting untuk memberi pendedahan kepada pelajar Sarawak di UK yang kurang mendapat maklumat mengenai perkembangan negeri.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif dan rancangan masa depan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Bagi Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Sarawak (SSA) UK, Amir Dzakwan, program seperti ini memberi peluang untuk mereka belajar dan berinteraksi dengan pemimpin Sarawak.
“Kami berharap segala informasi yang dikongsi melalui LBAS ini dapat memberi pendidikan kepada kami yang berada di sini, kerana jauh di perantauan, kami tidak sentiasa mengetahui apa yang berlaku di Sarawak,” jelasnya.
Program ini, katanya, memberi inspirasi untuk mereka kembali dan memberi sumbangan kepada Sarawak.
Eisya Sofea Embran, seorang pelajar dari University of Manchester, menganggap program ini sebagai peluang untuk anak Sarawak di luar negara, bahkan dari negara Eropah lain, untuk bersatu dan berbincang mengenai masa depan negeri.
“Tanpa program seperti ini, kami mungkin tidak akan tahu banyak tentang apa yang sedang berlaku di Sarawak,” katanya.
Sementara itu pelajar dari Bayes Business School, London, Mohamad Haneef Sulaiman Mohamad Safri berkata, program ini juga menjadi bukti bahawa Kerajaan Sarawak berusaha menghubungkan anak-anak Sarawak yang berada di luar negara dengan pembangunan negeri.
“Program ini menunjukkan usaha Kerajaan Sarawak untuk melibatkan rakyatnya di luar negara dalam perjalanan pembangunan negeri,” katanya.
Bagi Mohammad Aniq Ashwin Abuzar, pelajar dari University of West England, Bristol, acara ini amat signifikan kerana ia pertama kali diadakan di UK dan Eropah.
“Kami sangat bersyukur kerana Kerajaan Sarawak mengadakan LBAS buat pertama kalinya untuk kami, anak Sarawak, supaya kami dapat berasa lebih terhubung dan suara kami didengari oleh kepimpinan tertinggi Sarawak,” ujarnya.
Dari London ke Bumi Kenyalang, semangat anak Sarawak terus berkembang dan mengukuhkan ikatan mereka dengan tanah air. -TVS