LONDON, 4 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju agar program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) United Kingdom dijadikan acara tahunan, susulan kejayaan penganjuran edisi sulungnya di London tahun ini.
Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Makan Malam LBAS 2025 Edisi UK yang berlangsung meriah di Hotel Royal Lancaster, dihadiri lebih 300 anak Sarawak dari seluruh UK, Jerman dan Perancis.
Abang Johari turut mengumumkan bahawa bandar Manchester akan menjadi tuan rumah bagi LBAS Edisi UK tahun hadapan.
“Saya telah berunding dengan rakan-rakan dalam Kabinet yang turut bersama saya di sini, dan kami dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa memandangkan kita mempunyai acara tahunan Lan Berambeh di Kuala Lumpur, kami juga telah memutuskan untuk mengadakan Lan Berambeh di UK secara tahunan.
“Lokasi penganjuran untuk tahun hadapan telah ditetapkan, iaitu di Manchester,” katanya sebelum menyempurnakan penutupan dengan nyanyian lagu Kasih Sayang dan Bekikis Bulu Betis.
Ia sebagai kesinambungan kepada program yang bertujuan merapatkan hubungan anak-anak Sarawak di perantauan dengan kepimpinan negeri.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan kepimpinan kerajaan negeri yang lain.
Majlis makan malam tersebut merupakan acara kemuncak kepada program LBAS 2025 Edisi UK yang pertama kali diadakan di luar negara, menjadikan London sebagai destinasi pembuka tirai penganjuran antarabangsa program ikonik itu. -TVS