KUCHING, 4 Mei: Gabungan ikonik hip hop dan rap tanah air, Joe Flizzow dan SonaOne menggegarkan pentas utama malam pertama Fast Culture Music Festival (FCMF) 2025 yang berlangsung di Stadium Perpaduan semalam sekali gus mencuri tumpuan ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Duo berpengaruh itu tampil penuh bergaya sebagai antara tumpuan utama hari pertama festival muzik berprestij tersebut yang merupakan sebahagian daripada acara dua hari Fast Culture 2025 – festival gabungan automotif dan muzik terbesar di Sarawak.

Membawakan barisan lagu hit seperti Satu Malam di Temasek, Apa Khabar, Sang Saka Biru, Sampai Jadi, Hak Eleh, Baek dan Havoc, persembahan Joe Flizzow x SonaOne disambut dengan sorakan gemuruh serta nyanyian bersama daripada penonton yang membanjiri stadium.
Menambah lagi kehangatan malam itu, Joe Flizzow menarik perhatian apabila tampil mengenakan jersi Kuching City FC (KCFC) edisi tempat lawan 2024 sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat tempatan.
“Such a blessing to be back here in Kuching. Walaupun jarang tetapi bila ke Kuching, it feels like I’m home.
“Seperti lirik lagu – ‘Dan kali pertama kita diserbu peminat, di Kuching, Sarawak, seperti semalam aku ingat’ – it’s good to be back here in Kuching!,” kata Joe Flizzow ketika berinteraksi bersama penonton.
Sebelum kemunculan duo tersebut, pentas FCMF diserikan dengan persembahan artis berbakat seperti kumpulan tempatan Drasska, penyanyi solo Adruce Azman, Biak Ijal serta White Chorus dari Bandung yang memukau dengan lagu cover Berdua Lebih Baik, nyanyian asal Acha Septriasa.

Turut mencuri perhatian ialah persembahan eksklusif daripada penyanyi indie terkenal Jakarta, Danilla yang membawa sentuhan nusantara mempesona ke pentas Sarawak.
Turut hadir menyaksikan persembahan malam tadi ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman serta penganjur Fast Culture Festival 2025, Adibazli Affendi.
FCMF merupakan sebahagian daripada Fast Culture 2025 yang berlangsung pada 3 dan 4 Mei, menggabungkan Fast Culture Auto Festival (FCAF) dan muzik dalam satu acara mega.

Sepanjang hari pertama, lebih 700 kereta daripada pelbagai kategori dan jenama menghiasi perkarangan Stadium Sarawak menjadikannya antara penganjuran pameran automotif terbesar seumpamanya di Borneo.
Festival tersebut turut menarik penyertaan serta kehadiran pengunjung dari pelbagai negara seperti Itali, Thailand, Indonesia, Brunei, Jepun, Kemboja, Singapura selain seluruh Malaysia sekali gus membuktikan reputasi Fast Culture sebagai acara bertaraf antarabangsa.
FCMF akan bersambung hari ini dengan persembahan daripada barisan nama besar seperti Hujan, OAG, Sekumpulan Orang Gila (SOG), No Good, Feel Koplo dan Efek Rumah Kaca, menjanjikan satu lagi malam penuh letupan muzik di Stadium Perpaduan. – TVS