Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Informasi dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol diiringi Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Joachim Paggang Jabong serta ahli-ahli KDJA memberikan penghormatan terakhir kepada penerima Anugerah Tokoh HAWANA pertama itu di gereja St Thomas Kuching.

James Ritchie, jiwai Sarawak hingga akhir hayat

ByFarah Diyana Samsuddin

KUCHING, 4 Mei: Pemergian wartawan veteran, James Alexander Ritchie bukan hanya kehilangan besar kepada dunia kewartawanan, malahan terkesan kepada lipatan sejarah Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Informasi dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

“Ritchie merupakan seorang wartawan dan penulis yang sangat komited, dengan kerjaya yang merentasi lima dekad sejak awal 1970-an.

Beliau menyaksikan banyak peristiwa bersejarah, bukan sahaja di Malaysia tetapi terutamanya di Sarawak, dari Lundu hingga ke Lawas.

“Penulisan, artikel dan buku-bukunya kekal relevan dan akan menjadi rujukan penting untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasmi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), pada Ahad.

Terdahulu, Abdullah diiringi Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Joachim Paggang Jabong serta ahli-ahli KDJA memberikan penghormatan terakhir kepada penerima Anugerah Tokoh HAWANA pertama itu di gereja St Thomas Kuching.

Ahli-ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang James Ritchie, seorang wartawan veteran dan tokoh disegani dalam dunia media Sarawak. Foto KDJA

Beliau dalam pada itu menyifatkan bahawa etika kerja mendiang Ritchie menjadi penanda aras untuk wartawan muda dan legasinya akan terus menjadi inspirasi.

“Malah di penghujung kerjayanya, beliau masih aktif menulis. Beliau sedang dalam proses menyiapkan sebuah buku yang didedikasikan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” ujarnya.

Menurut Abdullah meskipun Ritchie dilahirkan di Pulau Pinang, mendiang dibesarkan di Sarawak berikutan bapanya pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Negeri pada awal tahun 1960-an.

“Mendiang sentiasa merasakan dirinya lebih ‘Sarawakian ‘daripada orang lain. Malah, saya mengiktiraf beliau sebagai seorang Anak Jati Sarawak sejati. Komitmennya terhadap negeri ini tidak dapat disangkal,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa Ritchie pernah berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri sebagai pegawai perhubungan awam, dan walaupun bukan anak jati
Sarawak, sumbangannya melebihi ramai anak tempatan.

Dalam perkembangan sama, Abdullah turut berkongsi perbualan beliau dengan isteri mendiang yang menyatakan Ritchie rebah ketika menunggu giliran untuk nelakukan pemeriksaan kesihatan dan tidak dapat diselamatkan.

“Hasil bedah siasat menunjukkan komplikasi jantung akibat saluran tersumbat.

“Ucapan takziah yang paling tulus kami sampaikan kepada isterinya, Helen Tan Lee Fong dari Melaka, dan anak mereka. Sarawak adalah rumah mereka, dan kami berbangga menganggap James sebagai salah seorang daripada kami,” luahnya.

Hantaran terbabit juga mencatatkan KDJA turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ritchie dan menghargai sumbangannya yang tidak ternilai kepada bidang kewartawanan dan sejarah Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan