SEREMBAN, 4 Mei: Gadis kelahiran Limbang, Sarawak, Beatricia Erwina Johny dinobatkan sebagai Ratu Etnik Dayak Negeri Sembilan 2025 sempena Majlis Makan Malam Pra-Gawai, malam kelmarin.
Beatricia Erwina, 25, pekerja swasta yang turut aktif sebagai model sambilan di Johor berjaya mengetepikan empat peserta lain sekali gus membawa pulang mahkota kemenangan dan wang tunai RM1,500.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kemenangan itu amat bermakna kerana bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk masyarakat Dayak.
“Masyarakat saya kaya dengan adat dan tradisi. Oleh itu saya berharap kemenangan ini akan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memartabatkan budaya kita,” katanya.
Beatrice Erwina sebelum ini pernah memenangi pelbagai gelaran, termasuk Kumang Johor 2022, pemenang tempat keempat Kumang RNI Peringkat Sarawak 2022, naib juara Dewi Kebaya Kota Selatan 2023 dan tempat ketiga Miss Beauty Johor 2023.
Sementara itu tempat kedua disandang oleh Ella Apit dari Kanowit, Sarawak manakala seorang lagi peserta berasal Limbang, Cordelia Emily menduduki tempat ketiga.
Pertandingan Ratu Etnik Dayak Negeri Sembilan 2025 merupakan acara sulung yang dianjurkan oleh Pertubuhan Raban Indu Dayak Seremban dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Pertandingan bertujuan untuk memperkenalkan keindahan budaya Dayak kepada masyarakat umum, khususnya di Semenanjung Malaysia, serta mencungkil bakat dan potensi generasi muda Dayak.
Majlis Makan Malam Pra-Gawai ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional Dayak, nyanyian etnik dan hidangan makanan tradisional masyarakat Dayak. -TVS.