KUALA LUMPUR, 4 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong atas kejayaan parti pimpinannya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura semalam.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berharap, hubungan istimewa antara Malaysia dan Singapura dapat terus dieratkan pada tahun-tahun mendatang.
“Saya mendoakan anda dan pasukan anda terus berjaya dalam menjalankan tanggungjawab kepimpinan dalam penggal baharu ini,” katanya.
Anwar berkata, kedua-dua negara kini sedang membina kerjasama yang mendalam di semua peringkat bagi mengharungi cabaran global termasuk melibatkan isu ketenteraman global dan perdagangan antarabangsa.
Tambah beliau, Malaysia dan Singapura juga berpeluang untuk menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai contoh cemerlang yang boleh diraih negara-negara jiran, dengan keyakinan dan tujuan yang sinergi.
“Kemakmuran dan keselamatan Malaysia dan Singapura tidak dapat dipisahkan. Kita terikat bukan sahaja oleh geografi, tetapi dengan ikatan kekeluargaan yang berkekalan,” katanya.
Pada Sabtu, PAP menang besar dalam PRU Singapura 2025 dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi parlimen.
Lawrence memperoleh mandat kukuh selepas parti itu mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dengan 65.57 peratus undi.- TVS