KUCHING, 3 Mei: Tujuh acara sukan akan dipertandingkan pada temasya Special Olympic Sarawak tahun ini membabitkan 461 atlet Orang Kurang Upaya (OKU) seluruh Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tujuh acara itu adalah badminton, bocce, bowling, pingpong, renang, bola sepak dan acara trek dan padang
Selain itu, dua kontijen baharu turut diperkenalkan pada sukan yang dipertanding di Kuching untuk tahun ke-7 ini menjadikan keseluruhan kontijen kepada lima bahagian atau chapter di seluruh Sarawak
“Kita ingin ucapkan tahniah kepada dua chapter yang dalam Special Olympics tahun ini iaitu Samarahan dan Bintulu Chapter.
“Asalnya Samarahan bersama dengan Kuching. Kuching (perlu) berpecah dua kerana terlalu besar. Jadi kita pecahkan dua iaitu Kuching dan Samarahan,” katanya lagi.
Fatimah berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Special Olympics kali ke-7, Sukan Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre pada Jumaat.
Sebanyak lima kemudahan sukan digunakan bagi penganjuran temasya sukan yang bakal berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan berakhir pada Ahad, antaranya perkampungan sukan, Stadium Negeri Sarawak dan Pusat Sukan Akuatik Pandalela.
Terdahulu, Fatimah yang juga Presiden Special Olympic Malaysia Sarawak memaklumkan bahawa kejohanan itu sepatutnya diadakan di Miri namun atas faktor yang tidak dapat dielakkan, ia dilangsungkan di Kuching buat kali ke-7
Untuk rekod sukan ini telah dimulakan di Sarawak sejak dari tahun 2001 lagi dan dilaksanakan dibeberapa bandar besar, antaranya Miri, Sibu, Bintulu dan Kuching.
Miri dijadualkan menjadi tuan rumah pada kejohanan sukan itu tahun ini namun atas faktor yang tidak dapat dielakkan, ia diserahkan kembali kepada Kuching bagi perlaksanaannya. – TVS