ARAU, 3 Mei: Malaysia sentiasa mengadaptasi bahan atau teknologi terkini dari negara maju termasuk melibatkan penghadang jalan raya di negara ini dalam menjaga keselamatan pengguna.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, segala bahan dan teknologi yang digunakan akan dinilai mengikut kesesuaian serta justifikasi teknikal jalan raya di negara ini.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) kagum dengan kepesatan teknologi jalan raya terutama di negara maju dan pihaknya sentiasa mencari keperluan untuk meningkatkan prestasi serta kegunaan bahan digunakan.
“Kita sentiasa ada program untuk melihat kepada mana-mana bahan dan teknologi baharu yang kita pakai. Kita ada makmal untuk melihat bahan baharu yang diperkenalkan di pasaran dan kita ambil sampel sama ada sesuai atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan perkembangan projek infrastruktur di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, di Arau hari ini.
Alexander menjelaskan, pada masa sama teknologi atau bahan digunakan di jalan raya termasuk melibatkan penghadang perlu disesuaikan dengan keadaan di negara ini.
Mengulas mengenai roller barrier, beliau berkata, ia hanya digunakan di beberapa bahagian lebuh raya terutama yang dianggap berbahaya dan berisiko kemalangan.
Sebelum ini, terdapat gesaan yang mahukan KKR menggantikan bahan konkrit atau besi pada penghadang jalan dalam usaha untuk menyerap hentakan kuat terutama ketika berlaku kemalangan.
Terdahulu, Alexander yang dalam rangka lawatannya ke Kedah dan Perlis bagi meninjau perkembangan beberapa infrastruktur di UniMAP seperti projek pembinaan masjid dan Pusat Islam UniMAP, Dewan Besar UniMAP serta Pusat Pengajian Kejuruteraan UniMAP yang dianggarkan menelan belanja RM116.84 juta.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.-TVS