KUCHING, 2 Mei: Sarawak bertekad untuk terus menggilap potensi atlet berkeperluan khas melalui kerjasama strategik antara sektor pendidikan dan sukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau telah berbincang dengan Pengarah Pendidikan Sarawak mengenai inisiatif untuk menjalin kerjasama lebih erat melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar berkeperluan khas untuk terlibat dalam pelbagai jenis sukan.
Menurutnya, walaupun pelajar-pelajar tersebut mendapat pendidikan formal di sekolah, sukan adalah salah satu platform sangat penting untuk memperkasa mereka dan membuka lebih banyak peluang dalam kehidupan.
“Sukan memberi mereka peluang untuk berkembang, bukan hanya dalam aspek fizikal tetapi juga dalam aspek sosial dan mental.
“Melalui program-program seperti Olimpik Khas Sarawak, kita tidak hanya memberi peluang untuk atlet berkeperluan khas bersaing dalam pertandingan tetapi juga mengembangkan potensi mereka ke peringkat lebih tinggi dalam sukan. Peluang ini juga membantu mereka dalam memperbaiki kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Healthy Athlete Program Sukan Olimpik Khas Sarawak 2025 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini.
Sehubungan itu, Fatimah percaya kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan sektor pendidikan adalah kunci utama untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan sukan OKU di Malaysia.
Beliau berkata, dengan sokongan dan komitmen yang kuat, impian tersebut dapat direalisasikan.
“Sekiranya kita bekerjasama secara strategik, kita boleh memastikan Sarawak terus kekal sebagai peneraju dalam sukan OKU, bukan hanya di peringkat negeri tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah matlamat yang ingin kita capai dan saya yakin kita mampu melakukannya,” ujarnya. – TVS