LONDON, 3 Mei: Sarawak mengambil pendekatan berkecuali di tengah ketegangan geopolitik dan perang tarif antara Amerika Syarikat dan China.
Meskipun dunia kini berdepan konflik perdagangan dan ketidaksefahaman politik antara dua kuasa besar itu, Sarawak akan terus memainkan peranan sebagai rakan dagang yang pragmatik dan terbuka kepada kedua-dua pihak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata secara geografi, negeri itu berada di Borneo yang terletak secara strategik di antara kedua-dua negara kuasa besar tersebut.
“Kita berada di tengah-tengah, itulah posisi Malaysia. Kita mesti kekalkan hubungan baik dengan kedua-duanya, Amerika Syarikat dan China.
“Ingat, Borneo berada di tengah-tengah, dan Sarawak berada di Borneo dan kita mesti bijak menguruskan masalah geopolitik ini, termasuk perang tarif yang sedang berlaku antara mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Fireside Bersama Lord Jonathan Marland di Forum Sarawak Connect London 2025 di sini pada Jumaat.
Menurutnya pendekatan ini penting untuk memastikan Sarawak dapat terus membangun dengan kestabilan serta membuka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak tanpa terikat kepada blok kuasa tertentu. – TVS