MIRI, 3 Mei: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan agar diwujudkan satu festival makanan khas yang memperkenalkan keunikan makanan di daerah Subis.
Beliau berkata, kepelbagaian etnik di Daerah Subis mempunyai kelebihan dalam gastronomi.
“Gastronomi, apabila melibatkan makanan di sebelah Miri, Niah, Lambir dan Bekenu ini cukup banyak sekali. Dan ini lah yang perlu kita angkatkan baiknya rendang-rendang, baiknya makanan yang bersangkut paut dengan pulut yang dimasukkan dalam macam-macam jenis daun.
“Saya melihat tapai di sini, macam-macam daun digunakan untuk membungkusnya. Keadaan seperti ini amat unik sekali dan saya berharap ia akan berkembang dalam kawasan ini supaya apabila pelancong datang itulah yang mereka mahu rasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Melanggar Meja dan Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Subis 2025 di Arena Sibuti, hari ini.
Beliau mahu Daerah Subis seperti Mukah yang terkenal dengan umainya, Sibu terkenal dengan mi kampuanya.
Selain itu katanya, Daerah Subis juga berpotensi untuk dibangunkan dari aspek budaya, kraf tangan dan sebagainya. – TVS