KUALA SELANGOR, 3 Mei: Peningkatan produk kesihatan tidak sah dalam pasaran tempatan menunjukkan trend membimbangkan dengan sebanyak 21,571 perkara merangkumi kosmetik dan suplemen dikesan sepanjang tahun 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengambilan ubat tidak berdaftar boleh mendatangkan kesan sampingan terhadap kesihatan termasuk menjejaskan fungsi organ dan sistem penting dalam badan.
“Ubat yang tidak sah ini boleh menjadi punca bencana kepada kesihatan. Ia boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk seperti toksik, berbahaya dan memudaratkan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Ada yang memberi kesan terus kepada organ penting seperti hati dan buah pinggang menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Malah, sistem lain seperti sistem endokrin turut terjejas,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Peringkat Zon Tengah Tahun 2025, di Kuala Selangor pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, istilah ubat tidak berdaftar merangkumi ubat tiruan, tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengandungi racun bahan terlarang, diimport secara haram dan dihasilkan tanpa pematuhan piawaian pengilangan.
Sehubungan itu menurutnya, KKM komited meningkatkan kesedaran orang ramai tentang risiko produk kesihatan tidak sah melalui siri jelajah TOBaTS yang akan diperluas ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sebagai Menteri Kesihatan, tanggungjawab saya bukan sahaja memastikan rawatan disediakan, tetapi juga mencegah rakyat daripada terdedah kepada risiko kesihatan.
“Ramai tidak menyedari bahawa sebahagian ubat tidak sah ini mengandungi bahan beracun yang boleh memudaratkan tubuh,” ujarnya.
Untuk rekod, daripada 21,571 perkara yang dikesan pada tahun 2024, sebanyak 17,630 adalah produk tidak berdaftar manakala 3,941 merupakan produk kosmetik.
Ia merupakan peningkatan daripada 20,157 perkara melibatkan produk ubat-ubatan, kosmetik dan bahan mentah yang dikesan daripada tahun sebelumnya.-TVS