MIRI, 3 Mei: Miri City Car Free Day sempena ulang tahun ke-20 Bandar Raya Miri berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Ia sekali gus memperkukuh semangat komuniti, gaya hidup sihat dan mempromosikan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan serta bandar sihat.
Program anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu menyaksikan pelbagai aktiviti riadah, sukan rakyat dan hiburan santai dijalankan sepanjang jalan utama yang ditutup bagi memberi ruang kepada warga Miri beriadah secara bebas tanpa kenderaan bermotor.
Pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak, Franky Sam, 46, menyifatkan penyertaan mereka dalam acara tersebut sebagai satu penghargaan dan peluang terbaik memperkenalkan sukan rakyat kepada orang ramai.
“Terima kasih kepada MBM menjemput kami untuk memperkenalkan sukan rakyat kepada warga Miri,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada ibu bapa menunjukkan keberkesanan program tersebut dalam menyatupadukan komuniti dan mendidik masyarakat tentang kepelbagaian permainan tradisional yang semakin dilupakan.
“Secara tidak langsung, program ini banyak membantu mereka untuk mengurangkan stres. Daripada kita duduk di rumah, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk bersama-sama dalam program Miri City Car Free Day,” ujarnya.
Nur Hasmi Afika Maulad Mohd Azrul Nizam, 21, turut memuji pendekatan acara tersebut yang bukan sahaja menekankan kesihatan fizikal, malah menjadi ruang pergaulan sosial serta aktiviti kekeluargaan.
“Program ini memang membantu dalam mengekalkan kesihatan rakyat Miri… Bila keluar peluh, mestilah kita akan jadi sihat sebab kita keluarkan toksin daripada badan.
“Pagi ini kita dapat lihat setiap keluarga memang menggalakkan anak mereka untuk sertai permainan rakyat,” jelasnya.
Sementara itu, Amidah Amat, 55, berkata, prgoram tersebut menyeronokkan kerana laluan yang panjang memberi peluang kepada peserta untuk beriadah dan menikmati suasana sihat.
“Sangat setuju untuk program ini diteruskan. Kalau boleh, sebulan dua kali pun bagus. Sebab nampak sambutannya pada tahun ini sangat menyenangkan,” tambahnya.
Program anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Sarawak. -TVS