KUCHING, 3 Mei: Jabatan Perikanan Malaysia sedang merancang melaksanakan projek kompleks tukun melibatkan kawasan di negeri pantai timur untuk permulaan.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Dato Adnan Hussain berkata, di bawah pendekatan baharu itu, pihaknya bercadang meletakkan tukun di satu lokasi sahaja berbanding secara bertaburan di sepanjang perairan.
Menurutnya, langkah tersebut dipercayai mampu memastikan impak lebih besar dalam menambah kepadatan sumber marin selain melindungi kawasan perairan daripada pencerobohan vessel pukat tunda.
“Setakat ini kita fokuskan kepada perairan Pantai Timur yang melibatkan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ini kerana di sini banyak aduan berkaitan dengan pencerobohan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Rasa-Rasa Akuakultur dan Karnival myAP dan myKP di Majma Mall di Kuching pada Sabtu.
Adnan menjelaskan, setakat ini pihaknya masih belum memutuskan mengenai perkara tersebut kerana ia masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Ekonomi membabitkan peruntukan.
“Sekiranya jumlah peruntukan diketahui, kita akan menjelaskan dengan lebih terperinci tentang perkara termasuk bilangan dan lokasi untuk pelaksanaan kompleks tukun ini,” ujarnya.
Sepanjang tahun 2024, JPLS melabuhkan 130 unit tukun tiruan pelbagai jenis di enam lokasi di seluruh Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhannya sejak tahun 1984 sebanyak 202,004 unit.-TVS