KOTA KINABALU, 3 Mei: Sebuah kilang pembungkusan kayu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, KKIP Selatan, Sepanggar terbakar sehingga 50 peratus dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1.39 tengah hari tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas yang melibatkan seramai 30 anggota dikerah ke lokasi sejauh 23 kilometer dari balai.
Operasi diketuai Komander Operasi PBK II Judy Trisna menggunakan tiga jentera FRT, satu water tanker, dua EMRS dan tiga RIM.
Pemadaman melibatkan dua aliran sepanjang 200 kaki dari dua jentera berbeza dengan sumber air diperoleh daripada jentera tangki air.
“Struktur bangunan kekal bersaiz 120 x 50 kaki persegi terbakar kira-kira separuh. Pemeriksaan menyeluruh dibuat bagi memastikan tiada bahaya lain wujud di kawasan sekitar,” menurut kenyataan JBPM.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.20 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya sembilan minit kemudian.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa. – TVS