Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Healthy Athlete Program (HAP)

Kesan awal masalah kesihatan atlet istimewa

ByRegina Lee

KUCHING, 2 Mei: Healthy Athlete Program (HAP) yang dijalankan sempena temasya Sukan Olimpik Khas Sarawak 2025 bukan sahaja menjadi landasan kesukanan malah platform penting mengesan awal masalah kesihatan yang tersembunyi dalam kalangan atlet berkeperluan khas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, terdapat atlet yang menyertai program itu didapati mempunyai masalah kesihatan serius termasuk tekanan darah tinggi walaupun dalam usia muda.

“Ada atlet mengalami tekanan darah tinggi yang mungkin tidak disedari oleh mereka sendiri. Tanpa kehadiran mereka dalam sesi saringan hari ini, mereka mungkin akan terus menjalani kehidupan seperti biasa tanpa mengetahui masalah kesihatan yang ada,” katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini.

Menurutnya, pendekatan saringan menyeluruh amat penting kerana ramai individu dalam komuniti tersebut tidak menyedari mereka mengalami masalah kesihatan dan seterusnya tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Jika mereka tidak tampil ke hadapan, masalah kesihatan ini akan terus terpendam. Oleh itu, apabila pemeriksaan dijalankan dan isu tersebut dikesan, surat rujukan akan diberikan bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan segera,” ujarnya.

Fatimah menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu pelaburan berbaloi bagi Kerajaan Sarawak dan penganjur kerana ia bukan sahaja menyokong aspek kesukanan tetapi turut memperkukuh kesejahteraan menyeluruh atlet kelainan upaya intelektual.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, HAP turut berfungsi sebagai pusat sehenti kesihatan yang menawarkan tujuh jenis pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Di sini mereka boleh periksa mata, telinga, gigi, berat badan, tekanan darah dan sebagainya, semuanya dilakukan oleh doktor sukarelawan,di satu lokasi yang selesa dan mesra OKU,” jelasnya.

Tambahnya, program seperti itu perlu diteruskan bukan sahaja ketika penganjuran temasya sukan malah secara berkala di setiap bahagian seluruh Sarawak sebagai usaha pencegahan jangka panjang.

HAP yang dijalankan secara serentak dijangka menjadi antara komponen kekal dalam semua penganjuran akan datang selari dengan komitmen Sarawak untuk kekal sebagai peneraju sukan bersepadu dan inklusif untuk komuniti OKU. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan