SEMPORNA, 3 Mei: Seorang juragan bertindak terjun ke laut dalam cubaan melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa ketika bot yang dikendalikannya dikesan dalam keadaan mencurigakan di perairan utara Pulau Gaya, semalam.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkata, bot jenis enjin sangkut berwarna putih dengan nombor pendaftaran TW6387/6/F itu dikesan kira-kira 0.7 batu nautika di utara Pulau Gaya sekitar jam 9.10 pagi oleh pasukan operasi Bot BANGGI 11, hasil maklumat risikan daripada unit risik Zon Maritim Semporna.
Ketika didekati, juragan terbabit nekad terjun ke laut dan berenang ke kawasan perairan cetek.
Suspek berjaya melarikan diri dan sehingga kini masih belum ditangkap.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot tersebut menemukan 16 tong jerrycan yang disyaki mengandungi petrol dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan mencecah RM11,000.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 089-782619 bagi membantu siasatan.-TVS