BINTULU, 3 Mei: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menyeberangi sungai menggunakan perahu ke tempat kerja di Rumah Setinggan, Tebingan Sungai Sibiew, Kemunting di sini, semalam.
Komander Operasi, Shukri Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.41 petang ini dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Mangsa, Mawa Lembang, 48 tahun dilaporkan pergi ke tempat kerja dengan menaiki perahu buatan sendiri dengan menyeberangi Sungai Sibiew pada jam 5 pagi.
“Sehingga kini, mangsa masih belum pulang ke rumah.Berdasarkan maklumat saksi dan laporan pihak polis, mangsa kali terakhir dilihat dihanyutkan arus deras ke hilir sungai semasa cuaca hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, usaha pencarian awal dilakukan oleh ahli keluarga serta orang awam dan hasil pencarian hanya menemui pendayung milik mangsa berhampiran Jambatan Jepak, Bintulu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan ke hilir sungai menggunakan sebuah bot pada jam 3.05 petang ini,” ujarnya.-TVS