Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick telah merasmikan pejabat baharu SME Corp. Malaysia dan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah serta melancarkan Program BEEP Plus 2025 dalam satu majlis di Donggongon Square, Penampang. Foto Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Hab PMKS Sabah permudah akses maklumat keusahawanan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

SABAH, 3 Mei : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan pejabat baharu SME Corp. Malaysia dan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah serta melancarkan Program BEEP Plus 2025 di Donggongon Square, Penampang, hari ini.

Terletak di Lot 16, Blok B, Donggongon Square, Penampang, pejabat baharu itu merangkumi ruang seluas 4,500 kaki persegi dan menempatkan kaunter informasi, kiosk maklumat dengan akses Internet, dewan untuk taklimat serta kursus keusahawanan selain ruang pameran produk dan perkhidmatan PMKS.

Lokasi strategiknya juga berhampiran dengan agensi seperti Bank Rakyat dan Tekun Nasional serta mudah diakses melalui pengangkutan awam.

Hab PMKS Sabah berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat keusahawanan yang membolehkan PMKS mendapatkan pelbagai maklumat penting berkaitan permulaan perniagaan, akses pasaran, pembangunan modal insan, sumber kewangan, perkembangan industri dan pelbagai aspek lain dalam dunia keusahawanan.

Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus pula diteruskan pada tahun ini khusus untuk menyokong perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak, terutama dalam kalangan Bumiputera asal.

Melalui program tersebut, peserta layak menerima bantuan geran padanan sehingga 70 peratus atau maksimum RM250,000 untuk pelbagai perbelanjaan termasuk penambahbaikan pembungkusan, perolehan mesin, penerapan ICT dan eDagang, sewaan serta pengubahsuaian premis perniagaan dan aktiviti promosi.

Dalam ucapannya, Ewon berkata, Hab PMKS diilhamkan khusus untuk memberikan kemudahan kepada komuniti perniagaan dan bakal usahawan di Sabah khususnya di Daerah Penampang.

“Hab ini akan menjadi pusat sehenti kepada PMKS untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor perniagaan dan maklumat mengenai program-program keusahawanan yang ditawarkan kerajaan.

“Pada tahun 2024, sebanyak 10,035 PMKS mengunjungi Hab PMKS SME Corp. Malaysia secara fizikal manakala 2,607 PMKS telah berkunjung dari Januari hingga Mac 2025,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, dalam ucapan aluannya berkongsi sejarah penubuhan pejabat SME Corp. Malaysia Sabah yang bermula sejak 2007 di Asia City, Kota Kinabalu sebelum berpindah ke Bangunan KWSP Kota Kinabalu dan kini di lokasi baharu yang lebih dekat dengan pasaran dan peluang pembangunan sejajar dengan kepentingan Pan Borneo sebagai nadi jaringan ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy pula berkata, PMKS kekal menjadi tulang belakang ekonomi negara dengan mewakili 96.9 peratus atau 1.1 juta perniagaan di Malaysia.

Menurutnya, sumbangan PMKS terhadap KDNK, eksport, guna tenaga dan produktiviti perlu terus diperkasa, dan SME Corp. Malaysia komited untuk memperluas akses maklumat kepada PMKS menerusi inisiatif seperti Hab PMKS.

Pada majlis sama, Ewon turut menyampaikan cek cura berjumlah RM841,099.97 kepada 15 penerima BEEP di Sabah, serta menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik dan Rancangan Perniagaan Terbaik Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 bagi Negeri Sabah.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah, Moira David; Presiden Majlis Daerah Penampang, Francis Chong; serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.

SME Corp. Malaysia mengalu-alukan kehadiran usahawan dan PMKS di Sabah untuk mengunjungi pejabat baharu dan Hab PMKS Sabah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program yang ditawarkan kerajaan.

Hab PMKS Sabah beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan