KUCHING, 3 Mei: Demi kasih sayang terhadap anak, seorang ayah Masli Bojeng berusia 54 tahun sanggup berkorban nyawa dengan mendermakan organ hati semata-mata mahu melihat anaknya Muhammad Fayyadh Hadif berusia 4 tahun 3 bulan yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir kembali sihat seperti kanak-kanak yang lain.
Masli yang berasal dari Bau dan kini menetap di Kampung Jaie, Sadong Jaya berkata, pemindahan hati kali kedua itu perlu dilakukan segera memandangkan pemindahan hati pertama yang dilakukan sebelum ini tidak menunjukkan kejayaan sepenuhnya.
“Pemindahan hati pertama dilakukan menerusi organ hati yang didermakan isteri saya Hanifah Salam berusia 39 tahun yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas pemindahan pertama dilakukan komplikasi saluran darah Fayyadh masih tersumbat.
“Dalam masa setahun Doktor PPUM berusaha untuk membuka saluran darah tetapi masih tidak berjaya dan menjejaskan fungsi hati yang menyebabkan hatinya beransur rosak balik,” katanya kepada TVS hari ini.
Penderitaan adik Fayyadh mula dapat perhatian, RM45,758 dikumpul setakat ini
Susulan itu, katanya, pemindahan hati kedua perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan anak mereka kembali sihat dan benar-benar pulih daripada penyakit yang dihidapinya.
“Hati ayah dan ibu mana yang tidak sedih melihat anak bertarung nyawa melawan penyakit yang dihidapi, demi mahu melihat anak kembali sihat saya akan menjadi penderma untuk pembedahan kali kedua ini.
“Kami sekeluarga telah mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan nyawa anak dengan menjual tanah yang ada, mengeluarkan duit simpanan termasuk wang gaji, menghabiskan banyak wang ketika pembedahan pertama dan tidak menyangka akan ada pembedahan susulan,” katanya yang bekerja di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sebuyau.
Katanya, untuk menjayakan pembedahan kedua itu mereka merayu sumbangan daripada orang ramai bagi membantu kos pembedahan sebanyak RM185,000 di Hospital Renji Shanghai China.
“Syukur Alhamdulillah…kami berterima kasih kepada mereka dan individu yang bermurah hati membantu dengan menyumbangkan wang ringgit untuk menjayakan pembedahan ini.
“Setakat ini sejumlah RM114,144.84 telah berjaya dikumpulkan untuk membantu pembedahan ini dan kami terus mengharapkan sumbangan untuk mendapatkan RM185,000 bagi mempercepatkan pembedahan Fayyadh,” ujarnya.
Katanya, pada masa ini dia bersama anaknya masih berada di PPUM bagi memastikan Doktor dapat terus memantau tahap kesihatan anaknya itu.
“Sekiranya jumlah kutipan sudah mencukupi kita akan segera berangkat ke China untuk menjalani pembedahan yang akan diuruskan oleh pihak Pertubuhan Biliary Atresia Malaysia (BAMA),” jelasnya.
Penderitaan adik Fayyadh mula dapat perhatian, RM45,758 dikumpul setakat ini
Kisah adik Fayyadh yang menderita kegagalan fungsi hati sejak lahir disiarkan TV Sarawak (TVS) baru-baru ini, hanya pembedahan pemindahan hati kali kedua itu memberi peluang kepada anak bongsu daripada tiga adik beradik itu kembali sihat.
Sehubungan itu, Masli memohon sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban dalam menjalani rawatan anaknya semasa dan selepas pembedahan pemindahan hati di negara China.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, orang ramai yang dikurniakan dengan rezeki yang lebih boleh menyalurkan sumbangan kepada Masli Bojeng melalui akaun Maybank (111065196995). – TVS