MIRI, 2 Mei: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri mengingatkan usahawan agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan pinjaman haram yang semakin berleluasa terutama dalam kalangan usahawan kecil dan mikro yang berdepan cabaran ekonomi.
Memetik laporan Suara Sarawak, Setiausaha DUBS Cawangan Miri, Khairul Sapardin Mohamad berkata, peningkatan iklan pinjaman tidak sah yang menyasarkan usahawan bukan sahaja membimbangkan malah perlu diberi perhatian serius.
“Ramai usahawan baharu yang terdesak untuk mendapatkan modal segera mudah terjebak dengan tawaran pinjaman tidak berdaftar dan berisiko tinggi.
“Jalan pintas seperti ini hanya akan mengundang masalah jangka panjang,dan kita harap usahawan bertindak bijak serta mendapatkan nasihat daripada saluran betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul turut meluahkan kebimbangan terhadap proses permohonan pembiayaan terlalu rumit sehingga menyukarkan usahawan mikro mendapatkan kelulusan walaupun mereka berpotensi dan layak.
“Ramai usahawan mikro gagal dalam permohonan pembiayaan bukan kerana tidak layak tetapi kerana dokumentasi yang diperlukan terlalu kompleks dan sukar untuk dipenuhi.
“Kami menyeru pihak bank, agensi pembiayaan dan agensi yang menawarkan geran bantuan untuk melihat semula proses permohonan yang ada agar lebih mesra usahawan kecil,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, DUBS Cawangan Miri menggesa lebih banyak program bantuan dan geran diperkenalkan terutamanya bagi usahawan B40, belia dan wanita.
“Ini penting untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman haram dan membantu perniagaan tempatan berkembang secara sihat.
“Program bantuan ini bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kewangan usahawan tetapi turut membantu membina daya tahan perniagaan yang mampan,” jelasnya.
Menurutnya, DUBS Cawangan Miri juga komited untuk menjadi jambatan antara usahawan, pihak bank, agensi pembiayaan dan agensi kerajaan bagi memastikan maklumat, peluang serta bantuan sampai kepada sasaran dengan cepat dan berkesan.
“Kami akan terus berusaha untuk menyokong usahawan dan memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan bagi menjamin kelangsungan perniagaan mereka,” tambahnya.
Dengan sokongan pelbagai pihak, DUBS percaya ekosistem keusahawanan yang selamat, progresif dan inklusif dapat diwujudkan seterusnya merancakkan kemajuan ekonomi Sarawak.-TVS