KUCHING, 2 Mei: Liga Dodgeball Sosial Kuching (KDSL) musim pertama melabuhkan tirainya dengan penuh dramatik apabila pasukan Tsuwave dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Crocodoodle 6-4 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Arena Sukan.
Ketua Pasukan Tsuwave, Felix Isadore David berkata, pasukannya berjaya mempamerkan ketangkasan dan strategi mantap untuk muncul sebagai juara sulung liga tersebut.
“Saya sangat gembira, tetapi kemenangan ini bukan usaha saya seorang. Ia hasil kerja berpasukan yang luar biasa. Tanpa sokongan rakan sepasukan, kami takkan sampai ke tahap ini”, kata Felix dalam satu kenyataan.
Naib juara pula menjadi milik Crocodoodle, manakala tempat ketiga dirangkul oleh Supernova selepas menewaskan Crocodily dengan keputusan tipis 6-5.
Pada majlis penutup, dua anugerah pemain paling bernilai (MVP) turut disampaikan yang mana untuk kategori Lelaki dimenangi oleh Ian Woodford (Crocodily), manakala MVP wanita menjadi milik Rofina Rhodea Konsil (Tsuwave).
Sementara itu, Presiden Persatuan Dodgeball Kuching, Darren Robin berkata, kejayaan penganjuran musim pertama itu sebagai pencetus kebangkitan sukan dodgeball di Kuching.
“KDSL berakhir dengan kejayaan besar. Ia menunjukkan pentingnya latihan dan kesungguhan dalam setiap permainan.
“Kejohanan ini akan menjadi batu loncatan untuk penganjuran lebih besar di masa hadapan,” ujarnya. -TVS