KUCHING, 2 Mei: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menyasarkan kemasukan lebih ramai pelancong dari Timur Tengah dan India ke Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datuk Salleh Askor berkata, sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan pemeteraian kerjasama strategik dengan Pelancongan Brunei dan Royal Brunei Airlines semasa Arabian Travel Market (ATM) 2025 di Dubai.
Menurutnya, kerjasama tersebut turut menyasarkan pelancong profil tinggi dari pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan India melalui promosi pengalaman pelancongan mesra Muslim berteraskan alam semula jadi dan warisan budaya.
“Kerjasama ini turut meningkatkan sambungan penerbangan dari Dubai ke Brunei dan Kuching sekali gus menawarkan perjalanan pelbagai destinasi yang lancar dan selesa kepada pelancong.
“Laluan Dubai-Brunei kini beroperasi tiga kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner manakala penerbangan Brunei–Kuching dilakukan empat kali seminggu dengan pesawat Airbus A320neo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut STB, jumlah ketibaan pelawat dari Timur Tengah ke Sarawak mencatatkan pertumbuhan sebanyak 82 peratus antara 2022 dan 2024 dengan sasaran untuk mencapai lima juta ketibaan pelancong tahun ini.
Jelas kenyataan tersebut, STB turut melancarkan kempen Echoes of Borneo bersama Pelancongan Brunei bagi mempromosikan perjalanan dua destinasi, menampilkan tarikan utama seperti Muzium Budaya Borneo, Taman Negara Gunung Mulu dan Niah, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF 2025) serta produk pelancongan diraja dan ekologi Brunei. – TVS