LONDON, 2 Mei: Kerajaan Sarawak komited dalam usahanya memperluas agenda tenaga boleh diperbaharui di peringkat global dengan meneroka potensi altenatif di luar hidroelektrik.
Inisiatif itu bagi memperkukuh daya tahan tenaga jangka panjang di samping mengekalkan komitmen Sarawak terhadap kelestarian dan dekarbonisasi.
Dalam pertemuan delegasi kerajaan negeri yang dipimpin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) di London, Eddie Rich membincangkan beberapa perkara utama.
Antara lain bersama Perikatan Boleh Diperbaharui Global (GRA) yang disertai Majlis Solar Global (GSC) dan Pertubuhan Hidrogen Hijau dengan tumpuan kepada penerokaan peluang baharu termasuk tenaga solar, hidrogen hijau dan sistem penyimpanan tenaga.
Pertemuan tersebut turut menyentuh potensi kerjasama dalam membangunkan hidrogen hijau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui tempatan.
Ia sebagai langkah proaktif menjadikan Sarawak antara peneraju utama dalam pembangunan teknologi tenaga hijau di Asia Tenggara.
Sementara itu, pihak IHA memaklumkan mereka sedang membangunkan model campuran tenaga serantau yang turut melibatkan Malaysia dan Indonesia, dengan fokus terhadap integrasi solar serta kajian struktur harga dan kadar penyerapan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka laluan kepada pelaburan baharu dan inovasi teknologi dalam ekosistem tenaga bersih Sarawak. – TVS