LONDON, 2 Mei: Sarawak kini terbuka untuk perniagaan dan penuh dengan peluang yang mampu memberikan manfaat bersama, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketika menjawab pertanyaan semasa sesi Fireside Bersama Lord Jonathan Marland di Forum Sarawak Connect London 2025, beliau berkongsi visi pembangunan Sarawak dan mengajak kerjasama global dalam membentuk masa depan negeri ini.
“Apa yang saya ingin tekankan ialah Sarawak mempunyai potensi untuk pertumbuhan masa depan, kita ada kestabilan, kita ada rakyat yang rasional.
“Kita juga mempunyai pelan hala tuju dengan dasar kita adalah konsisten tidak kira siapa pun Premier, bahkan melangkaui tahun 2030,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa dengan pelan pembangunan jangka panjang yang telah dirancang hingga tahun 2035, Sarawak berada dalam kedudukan yang kukuh untuk pelaburan yang mampan.
Menurutnya, apa yang Sarawak perlukan adalah kerjasama strategik untuk mempercepat inovasi dan teknologi serta pelaburan hijau bagi membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif penyimpanan karbon.
Antara lain termasuk perkongsian ilmu untuk memperkasa ekonomi digital dan kepercayaan terhadap dasar konsisten Sarawak serta komitmennya ke arah masa depan rendah karbon.
“Jika anda boleh menjawab tiga soalan ini dengan positif, adakah terdapat risiko, bolehkah anda menjana keuntungan, bolehkah ia mampan, maka Sarawak adalah tempat yang sesuai untuk anda,” ujarnya.
Dengan kerajaan yang stabil, visi jangka panjang dan tangan terbuka kepada rakan kongsi antarabangsa, Abang Johari berharap lawatan tersebut akan membuka peluang baharu yang menguntungkan pelabur dan rakyat Sarawak.
Forum Sarawak Connect 2025 anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) menghimpunkan pelabur dan komuniti perniagaan utama di United Kingdom yang berpotensi untuk menjalinkan kerjasama.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta barisan kepimpinan Kerajaan Sarawak.-TVS