KANGAR, 2 Mei: Sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang berlabuh di muara Sungai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis, yang menimbulkan kecurigaan dalam kalangan komuniti nelayan setempat, akhirnya merungkai kegiatan penyeludupan dadah melalui laluan air.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata, sebaik menerima laporan, pasukan Task Force Balai Polis Kuala Perlis, bersama Unit Marin Kedah/Perlis, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kangar, Bahagian Siasatan Jenayah Kangar, dan anggota Balai Polis Simpang, sampai di lokasi dan menemui 409 ketulan mampat dadah disyaki ganja dengan anggaran nilai RM1.297 juta.
Beliau berkata, ganja itu diletakkan di dalam kotak dan disembunyikan dalam sebuah kompartmen bot bagi mengelakkan pihak berkuasa mengesan jika bot itu ditahan.
Siasatan awal mendapati dadah tersebut ditinggalkan oleh sindiket penyeludup dalam tempoh 24 jam sebelum ganja tersebut ditemui.
“Dipercayai dadah ini dibawa dari negara jiran, di mana kita sedia maklum kawasan utara Malaysia, yang melibatkan Thailand, Laos, Myanmar, dan sebagainya, merupakan laluan utama untuk penyeludupan dadah, menjadikan Malaysia sebagai transit. Salah satu pintu masuknya adalah negeri Perlis dan kita percaya dadah ini akan dibawa keluar dari Perlis untuk pasaran di selatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa setiap ketulan mampat ganja mempunyai berat satu kilogram, dengan keseluruhan ganja dianggarkan bernilai RM1,297,900.
Tambah beliau, ganja yang dirampas dipercayai mempunyai tiga gred berbeza, iaitu ganja premium yang dibungkus dengan balutan emas dijual pada harga RM3,500, ganja gred B yang dibungkus dengan plastik lutsinar dan bertanda B27 dijual pada harga RM3,100, manakala ganja gred rendah yang dibungkus menggunakan plastik lutsinar berwarna merah jambu dijual pada harga antara RM2,000 hingga RM3,000.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS