KUCHING, 2 Mei: Polis sedang mengesan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kejadian samun yang menyebabkan kecederaan seorang warga emas awal pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Bako.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun berhubung insiden yang berlaku sekitar jam 2.45 pagi.
“Empat lelaki bertutup muka menceroboh masuk ke rumah mangsa sebelum mengikat tangan serta ahli keluarga yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya melepaskan ikatan sebelum berlaku pergelutan dengan salah seorang suspek.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bawah dagu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian082-244444 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Salji Ab Hamid di talian 013-2575814. -TVS