SPAOH, 2 Mei: Kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilihat sebagai platform terbaik melahirkan tenaga kerja mahir, inovatif dan relevan untuk industri pembinaan masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana pelaksanaan sesuatu projek terutama di luar bandar di Sarawak mempunyai cabaran tersendiri yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang tertentu.
“JKR merupakan salah satu agensi yang bertanggungjawab untuk mengendalikan projek di Sarawak.
“Setakat ini, JKR mengendalikan projek bernilai RM60 bilion di Sarawak termasuk Jalan Pesisir Pantai, Jalan Utama Kedua, 16 jambatan dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program JKR Sarawak Bersama Mahasiswa UITM di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom di Ulu Paku Spaoh pada Jumaat.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan, penganjuran program seperti itu membolehkan pelajar memahami corak dan budaya hidup masyarakat luar bandar.
“Pengalaman ini amat berguna apabila anda (peserta) mula bertugas nanti terutama di luar bandar.
“Ini kerana anda perlu memahami budaya kehidupam masyarakat di luar bandar sebelum memulakan sesuatu projek,” ujarnya.
Turut hadir isteri Uggah, Datin Amar Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri, Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris dan Rektor UITM Sarawak, Professor Dr Firdaus Abdullah. -TVS