BINTULU, 2 Mei: Kawasan pedalaman Lusong Laku di Belaga berpotensi besar untuk dimajukan sebagai hab pertanian moden dan destinasi ekopelancongan menarik.
Memetik laporan Suara Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, tanah subur dan sumber alam semula jadi yang kaya menjadikan Lusong Laku antara kawasan paling berpotensi untuk dimajukan secara lestari di pedalaman Sarawak.
Menurutnya, Lusong Laku bukan sahaja sesuai untuk projek penanaman padi sawah dan tanaman kontan tetapi juga mempunyai daya tarikan pelancongan unik seperti Air Terjun O’ong Peji’ yang digelar ‘Mini Niagara’ Sarawak.
“Dengan perancangan dan pelaburan yang strategik, Lusong Laku boleh menjadi sumber ekonomi baharu kepada negeri ini terutamanya bagi masyarakat Penan dan penduduk Ulu Sungai Linau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai lawatan kerja ke Lusong Laku dari 28 hingga 30 April lalu.
Lawatan tersebut turut melibatkan tinjauan ke Rumah Kraftangan, kawasan inap desa komuniti, Sekolah Kebangsaan Lusong Laku, Klinik Kesihatan serta sesi libat urus bersama-sama penduduk setempat.
Pada masa sama, Chukpai turut menggesa supaya pelan pembangunan holistik untuk Lusong Laku dilaksanakan segera dengan pelibatan aktif agensi teknikal, pentadbiran daerah dan komuniti setempat.
Menurutnya, salah satu cabaran utama yang perlu diatasi segera ialah keadaan jalan bekas balak uzur dan menyukarkan pergerakan masuk ke kawasan tersebut.-TVS