PITAS, 2 Mei: Seorang lelaki tempatan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan di pesisir Kampung Rosob, Pitas lewat malam semalam.
Mangsa yang berusia 57 tahun keluar menangkap ikan bersama-sama anaknya sekitar jam 11 malam pada 1 Mei namun tidak pulang sehingga pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pitas pada jam 11.58 pagi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian pada jam 12.08 tengah hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancarkan bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pitas yang terdiri daripada tujuh anggota bersama jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda menjalankan pemantauan menyeluruh di sekitar kawasan pesisir pantai berkenaan.
Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan.-TVS