KINABATANGAN, 2 Mei: Seorang lelaki berusia sekitar 30 tahun dikhuatiri menjadi mangsa serangan buaya ketika menjala ikan di Sungai Suan Lamba berhampiran Ladang Sepagaya, Kinabatangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan sekitar jam 4.10 petang hari ini yang memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar menjala ikan pada tengah hari semalam.
“Hanya selipar dan peralatan menjala milik mangsa ditemui berhampiran tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan.
Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi sejauh 35 kilometer dari balai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dijalankan bersama penduduk kampung di kawasan sungai tersebut.
Mangsa dipercayai bukan warganegara, namun identitinya masih belum disahkan setakat ini. -TVS