KOTA KINABALU, 2 Mei: Seorang lelaki berusia 55 tahun cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok ketika melalui Jalan ByPass Tuaran berhampiran Mahkamah Tinggi, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 petang itu, mangsa yang menunggang skuter Yamaha NVX dipercayai hilang kawalan selepas pokok tumbang secara tiba-tiba menyebabkannya terjatuh di atas jalan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Nirwan Ilyas berkata, pasukannya yang terdiri daripada tujuh anggota tiba di lokasi dalam tempoh empat minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Mangsa mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.53 petang selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada risiko bahaya lain.-TVS