SERIAN, 2 Mei: Seorang pekerja tapak pembinaan cedera di bahagian tangan selepas dihempap kren dalam kejadian di kawasan pembinaan jalan lama Sebangkoi, Balai Ringin, pagi tadi.
Memetik laporan Suara Sarawak, mangsa berusia 29 tahun terbabit dikatakan menjalankan kerja-kerja di tapak tersebut sebelum kemalangan berlaku kira-kira jam 10.50 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, Nasihin Jaum berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.51 pagi dan tiba di lokasi kejadian hampir sejam kemudian berikutan jarak 55 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan kami tiba. Mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan akibat dihempap sebahagian peralatan kren,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada operasi penyelamatan dijalankan memandangkan mangsa sudah dikeluarkan dengan selamat.
Tambahnya, pasukan bomba hanya menjalankan rawatan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada pasukan EMRS untuk dihantar ke Hospital Serian bagi rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari selepas memastikan kawasan kejadian selamat.
“Kejadian itu kini dalam siasatan pihak berwajib bagi mengenal pasti punca dan tahap keselamatan di tapak pembinaan tersebut,” ujarnya.-TVS