SUBANG, 2 Mei: Kerajaan komited untuk memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara menerusi penambahan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), melalui perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) dan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata pembinaan kapal LCS pertama telah dimuktamadkan dan kini berada dalam fasa ujian di pelabuhan dan laut.
“Kita mempunyai komitmen untuk menambah LMS kita, seperti yang telah kita lakukan di Turkiye, dan dalam masa yang sama, kita sedang menyiapkan LCS pertama.
“LCS pertama kini sedang menjalani ujian di pelabuhan dan laut, dan kita menjangkakan ia akan siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan studio digital Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, pada Jumaat.
Menurut Adly, kerajaan turut berusaha memperkukuh keupayaan TLDM melalui pembinaan LMS di Turkiye, sebagai langkah strategik untuk memastikan kesiapsiagaan pertahanan laut negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap aset baharu akan dilengkapi dengan teknologi moden bagi memenuhi keperluan semasa dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Ini adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan sistem pertahanan laut negara.
“Kerajaan mahu memastikan aset TLDM dilengkapi dengan teknologi terkini supaya mampu menangani sebarang bentuk ancaman dan cabaran di perairan negara,” jelasnya. – TVS