SUBANG, 2 Mei: Kementerian Pertahanan komited dalam memperkasa sistem pendidikan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelaksanaan inisiatif digitalisasi sekolah dalam kem (SDK).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata program tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan Affin Bank, yang menaja sepenuhnya kos berjumlah RM94,000 untuk menubuhkan Green Lab dan Affin Digital Space di tiga buah sekolah terpilih.
“Inisiatif ini, dengan kos keseluruhan berjumlah RM94,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Affin Bank, memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah dalam kem kerana majoriti muridnya terdiri daripada anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia.
“Usaha ini bukan sahaja membina bakat digital pelajar, malah membantu menggilap potensi mereka dalam bidang teknologi seiring dengan keperluan ekonomi digital negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan studio digital Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan TUDM Subang hari ini.
Jelas beliau, SK TUDM Subang merupakan sekolah kedua yang menerima manfaat inisiatif tersebut selepas SK Kementah, yang sudah memiliki kemudahan teknologi digital sejak Mac lalu.
Manakala, SK Sultan Sir Ibrahim di Kluang, Johor, bakal menyusul sebagai lokasi ketiga pelaksanaan inisiatif berkenaan, yang dijangka bermula pada bulan Jun ini.
Adly turut memaklumkan bahawa pembinaan studio digital ini mengambil masa setahun, melibatkan pembangunan infrastruktur, latihan kepada guru, serta penyediaan sistem pentadbiran yang lengkap.
Mengulas lanjut, inisiatif digitalisasi ini juga seiring dengan dasar pendidikan digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023 dan turut menyahut pelan strategik Fokus 4: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan.
Beliau menambah, projek ini dijalankan sebagai program rintis yang akan dinilai keberkesanannya sebelum diperluaskan ke 27 lagi sekolah dalam kem tentera di seluruh negara. – TVS