MIRI, 2 Mei: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas gagal mengemukakan dokumen sah ketika pemeriksaan di perairan Tanjung Baram, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan dilakukan sekitar 12.30 tengah hari dalam pelaksanaan Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 oleh pasukan peronda Maritim Malaysia.
“Pemeriksaan ke atas bot tunda yang berada kira-kira 4.0 batu nautika barat laut Tanjung Baram mendapati kru gagal mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda.
“Bot itu membawa tiga kru termasuk nakhoda, dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 39 hingga 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga mereka ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Bot (PTB) Miri untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 serta Akta Imigresen 1956 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki permit bekerja yang sah.
“Maritim Malaysia terus komited melaksanakan rondaan dan pemantauan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang serta jenayah maritim di perairan negara,” jelasnya.
Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111, Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016, atau talian kecemasan 999. -TVS