KUCHING, 2 Mei: Seramai 120 bekas pendidik dari seluruh Sarawak berhimpun di kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Khamis, sempena majlis “Retired Teachers Reunion 2025: Jasamu Tetap Dikenang” yang dianjurkan sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam dunia pendidikan.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran bekas guru, pengetua, pegawai pemeriksa, serta pegawai kanan dari pelbagai peringkat, bahagian, negeri dan Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur, termasuk tetamu dari sejauh Miri dan Mukah yang berusia antara 60 hingga 80 tahun.
Fatimah menegaskan bahawa sumbangan guru dalam mendidik, membimbing serta menyemai nilai murni amat besar dan tidak ternilai, malah terus memberi impak terhadap pembangunan negeri.
“Sebahagian daripada mereka masih menyumbang kepada masyarakat melalui NGO, jawatankuasa gereja dan masjid, atau sebagai Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran majlis ini adalah usaha kecil tetapi bermakna oleh beliau dan suami sebagai tanda ingatan terhadap jasa guru yang telah membentuk generasi cemerlang.
“Sekali bergelar guru, selamanya tetap seorang guru. Kami bangga pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan anak-anak Sarawak,” ujarnya.
Majlis tersebut bukan sahaja mencetus nostalgia zaman persekolahan, tetapi juga mengeratkan kembali hubungan sesama pendidik yang terus dikenang walaupun telah bersara. — TVS