KUCHING, 2 Mei: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Kuching akan menganjurkan Seminar Kesedaran Resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan Defibrilator luaran automatik (AED) pada 24 Mei di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua No.4.
Seminar tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan asas mengenai teknik CPR dan penggunaan AED.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dijangka hadir menyempurnakan majlis penutupan seminar tersebut.
Seminar tersebut melibatkan penyertaan tiga guru dari setiap sekolah rendah bantuan Cina di bawah Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Sepanjang seminar berlangsung, peserta akan diberikan pendedahan teori dan demonstrasi praktikal berkenaan teknik CPR dan teknik menggunakan AED yang betul dalam situasi kecemasan.
Usaha tersebut amat penting bagi memastikan warga pendidik bersedia menghadapi insiden kesihatan yang tidak dijangka terutamanya di dalam kawasan sekolah.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Joseph di talian 010-807 5510.-TVS