KINABATANGAN, 2 Mei: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang tersepit selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas di Jalan Sukau, berhampiran SK Bilit berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba pagi tadi.
Mangsa mengalami kecederaan dan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh anggota bomba.
Mangsa kemudiannya diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi PBK I Jasmani Osni berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan pada jam 8.17 pagi dan tiba di lokasi sejauh 45 kilometer pada jam 8.56 pagi.
Operasi membabitkan sembilan anggota serta sebuah jentera FRT dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.36 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Turut membantu ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM. – TVS