KUCHING, 2 Mei: Wakil tunggal Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal memilih jalan sukar untuk untuk menempuh aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas tewas tipis 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir pertama di Emirates Stadium baru -baru ini.
The Gunners masih mempunyai baki 90 minit dan mungkin lebih untuk mencipta kebangkitan dramatik di Parc des Princes, awal pagi Rabu depan.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta dalam sidang media pasca perlawanan menegaskan kepercayaannya terhadap anak-anak buahnya untuk aksi kedua di Paris.
“Kami percaya kami masih ada peluang. Ini belum tamat. Kami hanya ketinggalan satu gol.
“Kami akan pergi ke Paris dengan semangat, dan kami tahu kami mampu mencipta sejarah,” ujar Arteta.
Pada perlawanan sebelum ini, jaringan Ousmane Dembele pada minit ke-4 telah memecahkan kesunyian di Emirates, tetapi itu tidak memadamkan semangat juang anak-anak buah Mikel Arteta untuk mempamerkan aksi yang seimbang.
Arsenal tampil bertenaga, mencipta deretan peluang, malah sempat menyamakan kedudukan menerusi tandukan Mikel Merino, yang akhirnya dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid.
Keputusan 0-1 itu berakhir hingga ke wisel penamat yang menyaksikan wakil tunggal Perancis itu mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada minggu depan. -TVS