Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lapangan Terbang Supadio. Foto Antara

Supadio kembali ke peta penerbangan antarabangsa

ByMuqri Aziz

KUCHING, 1 Mei: Kerajaan Indonesia memberikan lampu hijau untuk mengembalikan status antarabangsa Lapangan Terbang Supadio, Pontianak, yang ditarik balik pada April tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Komisi V Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), Lasarus, yang menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan tersebut.

Susulan itu, beliau akan meminta Gabenor Kalimantan Barat, Ria Norsan, untuk mengemukakan permohonan rasmi.

“Saya telah menerima persetujuan awal daripada kerajaan dan telah menyampaikan perkara ini secara langsung kepada Menteri Pengangkutan Republik Indonesia. Sebaik sahaja menerima surat rasmi daripada Gabenor Kalimantan Barat, status antarabangsa Lapangan Terbang Supadio akan dipulihkan dalam masa terdekat,” katanya sebagaimana dilaporkan Tribun Pontianak.

Lasarus berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Halal Bihalal bersama keluarga besar Sukarelawan Lasarus Kalimantan Barat pada Selasa lalu.

“Sebagai Ketua Komisi, saya akan terus menyokong usaha Pemerintah Provinsi Kalimantan Barat untuk mengembalikan status antarabangsa lapangan terbang ini,” jelasnya sambil mengakui kedudukan strategik lapangan terbang itu sebagai pintu masuk antarabangsa utama di wilayah tersebut.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Kalimantan Barat, Krisantus Kurniawan, memberi jaminan bahawa pihaknya akan segera menyediakan surat rasmi permohonan kepada kerajaan pusat bagi mempercepatkan proses pemulihan status tersebut.

Untuk rekod, status antarabangsa Lapangan Terbang Supadio telah ditarik balik oleh Kerajaan Indonesia pada 26 April 2024, susulan peningkatan jumlah warga Kalimantan Barat yang melancong ke luar negara, khususnya ke Kuching, Sarawak bagi tujuan pelancongan dan rawatan perubatan.

Sejak itu, Kerajaan Sarawak bersama bekas Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, giat berusaha untuk mengembalikan perkhidmatan penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak.

Bukan itu sahaja, Raden Sigit ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan perpisahan ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia pada 25 April lepas memaklumkan bahawa Abang Johari turut mencadangkan agar laluan penerbangan ke Balikpapan di Kalimantan turut dipertimbangkan, selain Pontianak.

Awal tahun ini, Timbalan Menteri Pemasaran di Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Ni Made Ayu Marthini, memaklumkan bahawa Kerajaan Indonesia sedang berusaha untuk mengaktifkan semula laluan penerbangan antarabangsa yang dihentikan akibat pandemik COVID-19 termasuk laluan Kuching–Pontianak.

Walaupun keputusan akhir bergantung kepada syarikat penerbangan, beliau menegaskan bahawa pihak kementeriannya akan terus komited menghidupkan semula laluan penerbangan yang tergendala sejak lima tahun lalu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan