Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Semua bentuk kempen bagi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) akan dihentikan bermula tengah malam Jumaat (12 tengah malam, 2 Mei) seiring dengan bermulanya tempoh bertenang, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD). Foto AFP

PRU2025 Singapura: Kempen tamat tengah malam, tempoh bertenang bermula

ByBernama

SINGAPURA, 1 Mei: Semua bentuk kempen bagi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) akan dihentikan bermula tengah malam Jumaat (12 tengah malam, 2 Mei) seiring dengan bermulanya tempoh bertenang, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD).

Tempoh itu akan berlanjutan sehingga tamat proses pengundian pada 3 Mei.

“Tempoh bertenang memberi ruang dan masa kepada pengundi untuk menilai secara rasional isu-isu yang dibangkitkan sepanjang kempen pilihan raya sebelum mengundi,” menurut kenyataan ELD pada Khamis.

Sepanjang tempoh itu, sebarang bentuk iklan pilihan raya baharu — ditakrifkan sebarang maklumat yang munasabah untuk dianggap mempromosi, menyokong, atau menjejaskan kejayaan mana-mana calon, kumpulan calon atau parti politik — adalah dilarang untuk dipamer atau diterbitkan secara umum.

Antara aktiviti kempen dan iklan pilihan raya yang dilarang termasuk berkongsi, menyebar semula, menyiarkan semula atau meningkatkan capaian iklan pilihan raya dalam talian (OEA); aktiviti merayu undi; lawatan mesra; serta kunjungan dari rumah ke rumah.

Larangan turut merangkumi penganjuran perhimpunan umum, “e-rally”, siaran langsung berkaitan pilihan raya serta pemakaian atau penggunaan sebarang bahan kempen.

Hanya calon sahaja dibenarkan memakai lambang parti yang diperuntukkan kepada mereka.

Penerbitan tinjauan pilihan raya atau exit poll sepanjang tempoh pilihan raya — dari pengeluaran Writ sehingga tamat pengundian — juga tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, laporan media berkaitan isu pilihan raya dikecualikan daripada larangan ini.

Pengecualian lain termasuk iklan yang disiarkan sebelum hari bertenang serta komunikasi bersifat peribadi seperti perkongsian kandungan pilihan raya dalam kumpulan tertutup atau sembang keluarga.
ELD turut mengingatkan calon dan penyokong mereka agar menjaga tingkah laku di khalayak ramai dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh ditafsir sebagai berkempen.

“Calon masih dibenarkan menghadiri majlis keagamaan, perjumpaan atau program berkaitan kerja, tertakluk kepada larangan umum terhadap aktiviti kempen dan iklan pilihan raya semasa tempoh bertenang,” menurut kenyataan itu lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan