KUALA LUMPUR, 1 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat khususnya golongan pekerja untuk memecahkan tembok yang menyebabkan berlaku perpecahan di negara ini.
Kata Perdana Menteri, kesatuan dalam kalangan pekerja penting bagi menggerakkan negara dan pada masa sama menangkis ancaman perpecahan seperti yang belaku di beberapa negara lain kebelakangan ini.
Jelas beliau, Malaysia berkeupayaan untuk melakar kejayaan besar namun masih berdepan bebeberapa isu termasuk kebencian antara kaum, parti, wilayah, warna kulit dan agama.
“Hari ini kita bicara soal perkerja, di negara ini, Melayu yang paling ramai, tetapi kita tidak pinggirkan anak Cina, India ,Dayak dan lain-lain.
“Kita fikir nasib kesatuan pekerja, mengangkat martabat mereka. Jangan izinkan seperti di negara lain yang rakyatnya berpecah kerana kaum, fanatik terhadap agama, benci antara satu sama lain, dan fahaman sempit yang menyaksikan negara berpecah. Kita mesti pecahkan tembok itu,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaaan di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sementara itu Anwar berkata, Rang Undang -Undang (RUU) Pekerja GIG yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang diyakini dapat menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh golongan pekerja itu.
Kata Perdana Menteri, beliau bersetuju perlu penambahbaikan terhadap kebajikan pekerja GIG susulan wujud kekurangan yang dikenal pasti dalam beberapa aspek.
“Insha-Allah kekurangan seperti yang dihadapi pekerja GIG akan diselesaikan melalui RUU yang akan kita bentang dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya. – TVS.