KUCHING, 1 Mei: Kejohanan Muaythai Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak (TYT) 2025 bukan sekadar pentas pertarungan fizikal, malah menjadi medan membina sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan belia tempatan.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, usaha berterusan Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak memartabatkan sukan tersebut wajar dipuji, terutama selepas Sarawak muncul juara keseluruhan dalam acara muaythai pada temasya SUKMA XXI Sarawak 2024.
“Kejayaan Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara muaythai pada SUKMA XXI Sarawak 2024 membuktikan bahawa usaha bertahun-tahun ini bukan sia-sia.
“Sukan ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium pertandingan yang kompetitif, malah turut berperanan penting dalam membentuk disiplin, keberanian dan semangat kesukanan dalam kalangan belia,” katanya ketika berucap pada Program Pengenalan Peserta Kejohanan Muay Thai Piala TYT dan Piala Borneo 2025, di Waterfront Kuching, hari ini.
Kejohanan edisi 2025 itu bakal menyaksikan 130 perlawanan, termasuk 16 pertarungan Superfight Pro, melibatkan lebih 250 peserta dari pelbagai kelab tempatan dan antarabangsa. Ia akan berlangsung dari 1 hingga 4 Mei.
Lebih menarik, kejohanan kali ini turut menerima penyertaan dari negara luar seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, United Kingdom, Yemen dan Iran, sekali gus mengangkat Kuching sebagai destinasi sukan dan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah bersetuju menjadikan perkarangan Kuching Waterfront sebagai gelanggang rasmi kejohanan itu untuk penganjuran akan datang.
Katanya, keputusan itu dibuat hasil permintaan Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak yang mahu lokasi kejohanan dikembalikan ke kawasan tumpuan awam tersebut selepas pernah dianjurkan di Amphitheater Kuching tahun lalu.
“Kita dapati lokasi Waterfront amat sesuai untuk acara seperti ini, bukan sahaja dari segi kemudahan, malah ia turut memberi pendedahan kepada masyarakat umum terhadap seni bela diri muaythai,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyatakan harapan agar kejohanan ini dapat mencungkil bakat baharu, mengeratkan silaturahim serta menjadi platform kepada belia untuk bertanding dalam semangat setiakawan dan kesukanan yang tinggi. – TVS