KUCHING, 1 Mei: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak menyifatkan Ordinan Buruh Sarawak (Sarawak Labour Ordinance, SLO), yang berkuat kuasa mulai hari ini, sebagai hadiah terbaik sempena sambutan Hari Pekerja 2025.
Pengerusinya, Zaidi Nasar, berkata penantian selama 20 tahun pekerja Sarawak akhirnya terbalas dengan perkembangan baharu ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana menunaikan janji reformasi yang telah lama dinanti-nantikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidi turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, atas keprihatinan dan komitmennya terhadap kebajikan pekerja.
“Meskipun baru memegang jawatan dalam tempoh yang singkat, beliau telah membawa perubahan serta pindaan penting terhadap akta-akta berkaitan pekerja.
“Kecekapan dan usahanya benar-benar membuktikan kepimpinan yang membela kesejahteraan pekerja,” katanya.
Zaidi turut menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Galawat Gala, atas sokongan padu terhadap inisiatif tersebut.
“Dengan pencapaian ini, pekerja Sarawak kini berdiri sama tinggi dengan pekerja di Semenanjung Malaysia,” tambahnya.
Antara pindaan utama yang diperkenalkan dalam Ordinan Buruh Sarawak termasuklah Cuti Paterniti 7 Hari: Pekerja lelaki kini berhak mendapat cuti paterniti berbayar selama tujuh hari bagi menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan keluarga.
Cuti Bersalin Dilanjutkan: Tempoh cuti bersalin untuk pekerja wanita dipanjangkan daripada 60 hari kepada 98 hari.
Pengurangan Jam Kerja: Had maksimum waktu kerja mingguan dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam.
Perlindungan Pekerja Kontrak: Perlindungan diperketatkan termasuk tempoh kontrak yang lebih adil dan manfaat setara dengan pekerja tetap.
Pelarasan Bayaran Kerja Lebih Masa: Kadar bayaran kerja lebih masa diselaraskan supaya setanding dengan pekerja di Semenanjung.
Hak Kesihatan dan Keselamatan Pekerja: Peraturan diperketat untuk memastikan tempat kerja yang lebih selamat dan bebas risiko.
Aturan Kerja Fleksibel: Pekerja diberi peluang memohon aturan kerja fleksibel, termasuk lokasi, waktu, dan kaedah bekerja, dengan pertimbangan adil oleh majikan.
Perluasan Perlindungan kepada Semua Pekerja: Perlindungan kini meliputi semua pekerja tanpa had gaji, termasuk profesional dan eksekutif.
Pemantauan dan Penguatkuasaan: Mekanisme penguatkuasaan diperkukuh untuk memastikan majikan mematuhi peraturan buruh dengan tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan.
Zaidi menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti usaha bersama antara kepimpinan negara dan kesatuan sekerja dalam memperjuangkan hak pekerja Sarawak.
“Syabas kepada kepimpinan yang benar-benar mendengar dan bertindak demi kepentingan pekerja Sarawak,” katanya mengakhiri kenyataan. – TVS