SIPITANG, 1 Mei: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat bersama rakan-rakannya di Sungai Megalong, Kampung Banting, dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang, PPgB Calvin Joe Jeafery berkata, mangsa dikenali sebagai Punggut Madin, 51 tahun, disedari hilang dari pandangan semasa menarik pukat sekitar jam 3.30 petang.
“Bilik kawalan BBP Sipitang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.32 petang sebelum jentera tiba di lokasi 20 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejurus pasukan bomba mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi kejadian. Seramai 10 anggota dari BBP Sipitang dan Unit Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Beaufort terlibat dalam operasi dengan bantuan satu jentera FRT, satu EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Pencarian tertumpu di lokasi mangsa dilaporkan hilang dan sepanjang laluan sungai.
Usaha SAR masih diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.-TVS