MIRI, 1 Mei: Kraf tangan masyarakat Orang Ulu di Sarawak mempunyai potensi besar untuk dijadikan produk pelancongan berimpak tinggi, sekali gus menjana ekonomi komuniti luar bandar dan negeri secara keseluruhan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, usaha memperkasa pemain industri kraf perlu diperkukuh dengan strategi perniagaan moden dan sokongan kerajaan bagi menembusi pasaran lebih luas termasuk antarabangsa.
“Kraf tangan bukan sekadar warisan budaya, tetapi aset pelancongan yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri. Di Asia Tenggara, industri ini mencecah nilai RM200 bilion.
“Sarawak mampu menyumbang lebih besar jika pemain industri kita diberi bimbingan dan pendedahan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kraf Kreatif Orang Ulu di sini malam tadi.
Menurutnya, jualan kraf tangan Malaysia pada tahun 2024 mencecah RM410 juta, menunjukkan permintaan tinggi terhadap produk buatan tangan yang mempunyai nilai seni dan identiti etnik yang kukuh.
Katanya, pelbagai usaha sedang dilaksana termasuk pembangunan direktori khas pengusaha kraf melalui Majlis Kraf Sarawak yang dilengkapi kod QR bagi memudahkan pembeli tempatan dan pelancong asing mengakses produk.
“Kita mahu setiap pemain industri kreatif, khususnya kraf tangan, berdaftar agar mereka dapat diselaraskan dalam direktori promosi. Ketika ada pameran, pelabur atau pelancong luar negara mudah mengenal dan menghubungi mereka,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar produk kraf Sarawak dipasarkan melalui syarikat penerbangan tempatan dalam bentuk barangan jualan dalam pesawat (in-flight merchandise), selain memperkenalkan elemen kraf dalam pakaian kru penerbangan.
“Kita harus kreatif memasarkan produk ini. Jika pelancong tidak sempat membeli semasa lawatan, mereka boleh beli di dalam pesawat. Ini strategi yang mampu lonjakkan ekonomi kraf kita.
“Ini adalah pelaburan untuk masa depan ekonomi kraf Sarawak. Kita mahu setiap etnik tampil dan memasarkan hasil kreativiti mereka kerana pelancong hari ini bukan hanya mahu melihat tempat, tetapi juga membeli hasil tempatan yang eksklusif,” tambahnya.
Sebagai dorongan kepada komuniti kreatif, kementerian turut memperuntukkan Dana Mudah Cara Industri Kreatif berjumlah RM10 juta setahun yang boleh dimohon oleh pengusaha kraf tempatan untuk memperbesarkan operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan akses pasaran.
Beliau turut memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada penganjur sebagai sokongan terhadap usaha mereka mempromosikan seni budaya dan produk kraf etnik secara berterusan.