KUALA LUMPUR, 30 April: Penyanyi bertaraf antarabangsa berasal dari Miri, Zee Avi mendedahkan dia merancang untuk membuka sebuah studio rakaman di ibu negara.
Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman berkata, dia mahu studio rakamannya itu menjadi platform bagi pemuzik dari Bumi Kenyalang yang mahu menapak di ibu negara.
“Saya mahu menjadikannya sebagai satu saluran buat pemuzik Sarawak yang bercita-cita tinggi.
“Saya mahu mereka terinspirasi dan juga untuk berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Kantoi dan pernah menetap di Amerika Syarikat itu berkata, usaha membina komuniti kreatif adalah sangat penting untuk perkembangan industri muzik Borneo.
“Saya juga melihat kerjasama antara pemain industri tanah air merupakan kunci bagi mencapai kejayaan dalam industri,” katanya.
Sementara itu, Zee Avi memberitahu dia juga sedang melaksana dua projek Extended Play (EP) iaitu ‘Zee Avi’ dan Zee Avi & The Good Things.
“Insya-Allah hujung tahun ini mungkin kami akan keluarkan lagu baharu, saya berharap akan dilaksanakan,” katanya.
Zee Avi berkata EP bagi Zee Avi & The Good Things merangkumi lagu-lagu yang lebih ceria, manakala EP bagi ‘Zee Avi’ membawa jiwanya sebagai gadis melankolis. – TVS