KUCHING, 30 April: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru agar kerajaan, majikan, pekerja dan masyarakat terus berganding bahu dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat, adil dan sejahtera.
Menerusi perutusan sempena Hari Pekerja 2025, Tun Wan Junaidi menegaskan agar semua pihak tidak menimbulkan ruang kepada sebarang bentuk penindasan atau ketidakadilan.
“Ini kerana hanya dengan persekitaran kerja yang harmoni, produktiviti dan kesejahteraan bersama dapat dipertingkatkan demi kemajuan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama beliau dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berharap agar sambutan Hari Pekerja dapat memperkukuh komitmen rakyat Sarawak dalam menjadikan negeri ini sebagai tempat kerja yang adil, selamat dan sejahtera untuk semua.
Beliau menekankan bahawa golongan pekerja tidak kira di bandar mahupun di kawasan pedalaman memegang peranan yang sama penting dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.
Dalam menyifatkan pekerja sebagai tulang belakang yang memastikan kesinambungan kemajuan demi kesejahteraan rakyat, Tun Wan Junaidi turut menzahirkan rasa bangga terhadap kepelbagaian sektor pekerjaan di Sarawak termasuk minyak dan gas, pertanian, pelancongan serta ekonomi digital.
“Saya dan Toh Puan juga ingin merakamkan penghargaan kepada para majikan dan kesatuan sekerja yang terus bekerjasama dalam memelihara kebajikan pekerja.
“Hubungan harmoni antara majikan dan pekerja menjadi asas kepada produktiviti yang mampan dan kesejahteraan bersama,” katanya lagi.
Beliau turut melihat sambutan Hari Pekerja sebagai satu peluang untuk semua lapisan pekerja dalam Sarawak khasnya menilai semula dasar serta amalan pekerjaan, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang komited untuk memperkukuh perlindungan sosial, memperluas peluang latihan kemahiran dan menyediakan pekerjaan yang adil dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Sementara itu, beliau berkata tema sambutan tahun ini, iaitu “Pekerja Kesuma Bangsa”, mengiktiraf pekerja sebagai permata berharga yang memperkukuh jati diri dan kemajuan bangsa.
Menurutnya ia selaras dengan penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keharmonian dalam dunia pekerjaan.
Tun Wan Junaidi turut mengajak semua pekerja bersama-sama merealisasikan visi Sarawak sebagai negeri maju dan makmur menjelang 2030. – TVS