KUCHING, 30 April: Para suami diseru agar menghayati konsep Qawwam yang menekankan tanggungjawab dan amanah mereka sebagai pemimpin dalam institusi keluarga.
Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata konsep tersebut digariskan dalam al-Quran yang memperlihatkan peranan suami sebagai pendukung keluarga dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.
“Realiti kepincangan rumah tangga pada masa kini membuktikan bahawa kegagalan menghayati konsep ini membawa kesan negatif kepada keharmonian keluarga.
“Justeru, pembentukan keluarga yang stabil dan penuh kasih sayang bukan sahaja penting untuk kesejahteraan individu malah menjadi asas kukuh kepada kestabilan masyarakat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Hamdan Jar’ee pada Majlis Penangguhan Seminar Kesedaran Isu Sosial Sarawak 2025 di Pusat Penerangan Islam (IIC), di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan JAKIM Malaysia, Hazizah Yusof yang mewakili Pengarah Bahagian Kemajuan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM Malaysia.
Menurut beliau, seminar tersebut penting bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memahami peranan lelaki dan wanita bukan sahaja dalam institusi kekeluargaan tetapi juga dalam masyarakat secara keseluruhan.
Pada masa sama, penganjuran seminar ini juga selari dengan komitmen MIS dalam pembangunan ummah, bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Ummah Majlis Islam Sarawak (Bidang Sosiobudaya) yang menumpukan kepada kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan jaringan sosial di wilayah ini.
“Dengan penerapan nilai-nilai ini, kita boleh membentuk keluarga yang lebih sejahtera dan masyarakat yang lebih harmoni terutama di dalam negeri yang berbilang bangsa dan agama seperti Sarawak.
“Semoga seminar ini menjadi titik kesepakatan dalam usaha kita membincangkan tentang peranan semua pihak samada pihak kerajaan, NGO serta masyarakat awam dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang sihat, bertanggungjawab dan berintegriti serta bebas daripada pelbagai anasir negatif,” ujarnya lagi.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Modul Literasi Keganasan Rumah Tangga serta Kempen Lelaki Qawwam, Wanita Terpelihara: Menangani Keganasan Rumah Tangga Dari Akar Umbi oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) yang bertujuan membina kefahaman, pemerkasaan dan sokongan berasaskan nilai-nilai Islam dalam menangani isu keganasan rumah tangga.
Kira-kira 250 penjawat awam dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyertai seminar tersebut yang merangkumi tiga slot utama iaitu Pencegahan HIV dan AIDS, Kecelaruan Gender dan Kekeliruan Orientasi Seksual Menurut Perspektif Islam serta Qawwam Kah Kita? – TVS